Kamis, 03 April 2008

#) Pokok Kelapa

Pokok Kelapa :

(bahasa Inggeris: coconut, tulisan Cina 椰) atau juga dikenali sebagi nyuir adalah tumbuhan saka, tempoh ekonomi adalah melebihi 25 tahun. Pokok boleh mencapai ketinggian 6 hingga 30 meter bergantung kepada variasi. Ia didapati di semua kawasan tropika. Keseluruhan pokok kelapa dapat dimanfaatkan kepada pelbagai guna.

Pokok kelapa (Cocos nucifera L.) adalah ahli keluarga Arecaceae (keluarga palma). Ia merupakan spesies tunggal yang dikelaskan dalam genus Cocos dan merupakan pokok palma yang besar, tumbuh setinggi 30 meter, dengan pelepah daun (pinnate) sepanjang 4-6 meter, dengan helaian daun (pinnae) sepanjang 60-90 cm; pelepah tua luruh meninggalkan batang pokok yang licin.

Asal pokok kelapa telah menjadi perbahasan dengan sesetengah pihak berkuasa mendakwa bahawa ia berasal dari semenanjung Asia Tenggara sementara yang lain pula mendakwa bahawa ia berasal di barat laut Amerika Selatan.

Rekod fosil di New Zealand menunjukkan pokok kecil seperti kelapa tumbuh di situ semenjak 15 juta tahun dahulu. Fosil yang lebih tua telah dijumpai di Rajasthan, India. Walau dari manapun asal pokok kelapa, ia telah tersebar disebahagian besar kawasan tropika, terutamanya sepanjang persisiran pantai. Oleh kerana buah kelapa ringan dan timbul, pokok kelapa mudah tersebar oleh arus laut yang mampu membawa buah kelapa pada jarak yang jauh. Pokok kelapa hidup subur di tanah berpasir, paya dengan banyak cahaya matahari dan hujan yang tetap (75-100 cm setahun), yang menjadikan koloni di pantai agak mudah. Buah yang dikumpulkan dari laut jauh ke utara seperti Norway telah di dapati masih utuh dan mampu tumbuh setelah diberikan keadaan yang sesuai. Bagaimanapun di Kepulauan Hawai, pokok kelapa dianggap diperkenalkan oleh orang Polinesia, pertama diperkenalkan ke kepulauan oleh pelayar Polinesia dari tanah asal mereka di Pasifik Selatan.

Secara botani, buah kelapa merupakan "buah kering" yang dikenali sebagai pepauh (ataupun drup) bergentian (bukannya "kacang"). Mesokarpa terdiri daripada gentian yang dikenali sebagai sabut dan terdapat tempurung (endokarpa). Tempurung keras mempunyai tiga liang percambahan yang jelas kelihatan di permukaan luar apabila sabutnya dibuang. Melalui salah satu darinya pucuk keluar apabila embrionya bercambah. Apabila dilihat dari satu bahagian, tempurung dan liang percambahan kelihatan seperti muka monyet yang merupakan istilah bahasa Portugis iaitu coco.

Kesemua bahagian pokok kelapa berguna kecuali kemungkinannya bahagian akar dan pokok kelapa mampu menghasilkan sehingga 75 biji kelapa setahun; dengan itu, ia mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Malah, nama pokok kelapa dalam bahasa Sanskrit adalah kalpa vriksha, yang diterjemahkan sebagai "pokok yang membekalkan semua keperluan kehidupan". Kegunaan pelbagai bahagian kelapa termasuk:

  • batang kelapa boleh dibuat titi;
  • daun kelapa boleh dibuat pembalut makanan;
  • lidi kelapa boleh dibuat penyapu;
  • sabut kelapa boleh dibuat tali; dan
  • tempurung kelapa boleh diproses menjadi ubat nyamuk dan barangan kraftangan.
Buah kelapa yang muda boleh diminum, sementara kelapa tua boleh diproses untuk menghasilkan santan, minyak kelapa dan pelbagai lagi....

Sumber : Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

0 komentar:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP